Perkhidmatan Feri Pulau Pinang merupakan perkhidmatan feri tertua di Malaysia. Perkhidmatan feri terkenal ini dihubungkan antara terminal feri Pulau Pinang di Butterworth ke terminal feri Raja Tun Uda di Pelabuhan Quay di George Town di Pulau Pinang.
Perkhidmatan feri pertama di Pulau Pinang bermula sejak tahun 1894 oleh seorang pengusaha persendirian, Encik Quah Beng Kee dan saudara-saudaranya (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 1981). Walau bagaimanapun, reka bentuk feri pada masa itu bukan seperti yang dapat disaksikan pada hari ini, feri pada masa itu hanya merupakan lanci-lanci kecil yang menggunakan kuasa wap untuk berjalan (Mahanum Ghazali, 1995). Feri itu juga hanya dapat mengangkut penumpang dan baran-barang yang terhad sahaja kerana pada masa itu masih belum ada kenderaan bermotor lagi (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 1981). Manakala lokasi pendaratan feri pada waktu itu adalah antara Jeti Kedah di Pulau Pinang dan beberapa tempat pendaratan di Seberang Perai (Mahanum Ghazali, 1995). Perkhidmatan feri yang dapat mengangkut kenderaan bermotor hanya bermula selepas Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang (LPPP) mengambil alih pengurusan dan penyeliaan feri pada Disember 1924. Pada tahun berikutnya, perkhidmatan ini telah dikendalikan di jeti yang khusus, iaitu Jeti Lebuh Gereja di Pulau Pinang dan Jeti Mitchell di Butterworth. Pada masa itu, hanya terdapat satu feri berkuasa wap bernama “Seberang” yang dibina oleh Lembaga Pelabuhan Singapura sahaja yang beroperasi untuk memuatkan penumpang pejalan kaki dan kereta-kerata (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 1977).
No comments:
Post a Comment